PASIR MAS – Mayat seorang lelaki dijumpai dalam keadaan terapung di Sungai Kelantan dekat Kampung Tendong di sini petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Nor Izana Abdullah berkata, lelaki berpakaian lengkap yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemukan oleh orang awam di kawasan tersebut.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.06 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba yang tiba di kawasan sungai itu mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan tertiarap akibat dihanyut arus sungai.
“Mayat mangsa pada awalnya dijumpai oleh orang awam yang berada di kawasan tersebut. Anggota bomba kemudian membawa mayat lelaki terbabit ke tebing sungai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nor Izana memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














