fbpx
Abdul Rashid (tengah) memeriksa produk buah-buahan pada Majlis Perasmian Karnival Jualan Agro Madani@Kelantan 2026 di RTC Tunjong, Kota Bharu malam tadi.

Karnival jualan AgroMadani 2025 bantu rakyat berjimat RM25.18 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Karnival Jualan AgroMadani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berjaya membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan sehingga RM25.18 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, penjimatan itu dicapai hasil jualan keseluruhan bernilai RM84.14 juta menerusi penganjuran program tersebut di seluruh negara.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan bahawa karnival tersebut menjadi antara inisiatif paling berkesan dalam menangani tekanan kos sara hidup.

“Karnival berkenaan bukan sahaja memberi kelegaan kepada pengguna, malah membuka peluang pasaran luas kepada usahawan tempatan apabila melibatkan penyertaan 61,891 usahawan dengan kehadiran lebih 2.6 juta pengunjung.

“Fama menyasarkan penganjuran 4,050 program Jualan AgroMadani pada tahun lalu, namun berjaya melaksanakan sebanyak 4,300 program, melepasi sasaran ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Jualan AgroMadani@Kelantan 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini malam tadi.

Abdul Rashid memberitahu, bagi penganjuran Karnival Jualan AgroMadani, sebanyak sembilan karnival dirancang bermula 2025 hingga awal tahun ini dengan tujuh karnival telah berjaya dilaksanakan setakat ini melibatkan Selangor, Terengganu, Perak, Perlis, Sarawak, Kedah dan Kelantan.

Katanya, keseluruhan karnival tersebut menarik seramai 505,999 pengunjung dengan penyertaan 658 usahawan sekali gus mencatatkan nilai jualan melebihi RM9.9 juta.

Mengulas mengenai penganjuran karnival itu di Kelantan, beliau berkata, Karnival Jualan AgroMadani@Kelantan 2026 menyediakan lima kluster utama melibatkan 148 lot jualan dengan penyertaan 120 usahawan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI