KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, K. Letshanaa terpaksa akur tidak dapat meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters selepas tersingkir di separuh akhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, pemain No.42 dunia itu tewas straight set 15-21, 17-21 kepada pemain muda Thailand, Pitchamon Opatniputh dalam tempoh 41 minit.
Walaupun turun sebagai pemain bukan pilihan, sekurang-kurangnya Letshanaa sudah memberikan tentangan sengit kepada pemain No.36 dunia itu, namun tuah tidak memihak kepadanya.
Dalam laluannya ke separuh akhir, pemain No.42 dunia itu menewaskan tiga pemain yang menghuni ranking lebih tinggi termasuk dua pemain Taiwan, Wen Chi Hsu (No.34) dan Huang Yu Hsun (No.37) serta bintang Kanada, Michelle Li (No.12).
Sebagai rekod, Letshanaa menjadi perseorangan wanita pertama negara melangkah ke separuh akhir pada kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu selepas kali terakhir dilakukan Goh Jin Wei ketika menjadi naib juara bagi edisi 2016.
Selepas ini, dia akan berangkat ke Patumwan menjelang kejohanan Thailand Masters yang bermula Selasa nanti dan dijadualkan bertemu pemain Kanada, Wen Yu Zhang di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE














