fbpx
Gambar hiasan

Bawa ke hospital konon bapa jatuh, bongkar syak dipukul objek tumpul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Niat seorang anak membawa bapanya ke hospital bertukar menjadi siasatan kes bunuh apabila warga emas berusia 76 tahun itu disyaki mengalami kecederaan akibat objek tumpul sebelum disahkan meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian dikesan selepas seorang pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras menerima warga emas itu dalam keadaan separa sedar pada 19 Januari lalu kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, mangsa dibawa oleh anaknya yang mendakwa bapanya terjatuh beberapa kali di rumah yang terletak di Seri Kembangan.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati corak lebam pada badan mangsa tidak teratur dan disyaki berpunca daripada kecederaan menggunakan objek tumpul.

“Bertindak atas maklumat, pada 19 Januari kira-kira pukul 9.30 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang menahan anak mangsa berusia 40 tahun di lobi Jabatan Kecemasan HCTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Farid berkata kes pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 30 Januari ini.

Semakan turut mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau jenayah dan narkotik, namun saringan ujian air kencing adalah negatif.

Bagaimanapun, pada 22 Januari, mangsa disahkan meninggal dunia akibat ‘head injury due to blunt trauma’ (kecederaan kepala akibat hentakan trauma tumpul) dan siasatan kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-8074 2222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN