PETALING JAYA – Yeo’s Malaysia menyasarkan untuk menggandakan jualan produk Yeo’s Yeogurt tahun ini menerusi strategi pemasaran Yeo’s Yeogurt – Aktif ke Sekolah.
Kempen tersebut mencerminkan pendekatan jangka panjang syarikat dalam membina kesetiaan jenama sejak usia muda, dengan segmen kanak-kanak dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan masa hadapan bagi kategori minuman yogurt.
Inisiatif berkenaan dilancarkan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 11, Kota Damansara baru-baru ini, melibatkan penyertaan murid dan guru dalam program berteraskan kesihatan, aktiviti fizikal ringan serta interaksi jenama secara langsung.
Pengarah Pemasaran Yeo’s Malaysia, Renda Low berkata, pemilihan tempoh awal sesi persekolahan merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kesedaran jenama dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa.
“Program ini direka untuk mengingatkan kanak-kanak bahawa gaya hidup sihat bermula dengan sistem penghadaman yang baik serta amalan aktif yang mudah dan menyeronokkan.
“Ia sejajar dengan kedudukan Yeo’s Yeogurt sebagai minuman harian yang menyokong gaya hidup aktif,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kempen sama, Yeo’s Yeogurt turut memperkenalkan Peraduan Dana Aktif ke Sekolah, yang menawarkan dana pendidikan dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional, selain ganjaran tunai mingguan dan hadiah lain sebagai insentif penyertaan pengguna.
“Secara keseluruhan, kami menyasarkan isi rumah di Malaysia dengan tumpuan khusus kepada kanak-kanak sekolah rendah hingga usia 15 tahun sebagai kumpulan pengguna teras bagi Yeo’s Yeogurt,” katanya.
Ketika ini, Yeo’s Yeogurt ditawarkan dalam lima perisa utama iaitu Asli, Anggur, Mangga, Epal Hijau dan Beri Campuran bagi memenuhi kepelbagaian cita rasa pengguna muda. – KOSMO! ONLINE














