BIRMINGHAM – Aston Villa sekali lagi berdepan ancaman besar untuk kehilangan penjaga gol utama mereka, Emiliano Martinez apabila gergasi Serie A, Inter Milan dilaporkan sudah memulakan rundingan awal bagi membawa keluar bintang Argentina itu.
Martinez, 33, yang membantu Argentina menjuarai Piala Dunia dan terkenal dengan aksi berkarisma serta kepakaran menyelamatkan sepakan penalti, sebelum ini hampir berhijrah ke Manchester United pada musim panas lalu sebelum kelab itu memilih pilihan lain.
Kini, masa depan penjaga gol itu kembali menjadi tanda tanya apabila sumber terdekat mengesahkan Inter melihatnya sebagai calon ideal pengganti jangka panjang Yann Sommer.
Perbincangan awal dikatakan sudah berlangsung di Milan bersama wakil pemain itu, dengan Inter bersedia menyediakan tawaran kontrak dua tahun sebagai sebahagian pelan membina semula benteng terakhir mereka.
Minat tersebut hadir ketika Martinez terus memainkan peranan penting dalam kempen cemerlang Villa musim ini selepas merekodkan lima aksi tanpa bolos dalam 18 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Meskipun menandatangani kontrak baharu sehingga 2029 pada Ogos lalu, beberapa kesilapan kecil kebelakangan ini tidak menjejaskan statusnya sebagai tonggak utama Unai Emery yang berulang kali melabel Martinez antara penjaga gol terbaik dunia.
Bagaimanapun, pengurusan Villa difahamkan lebih cenderung untuk mengekalkan Martinez sekurang-kurangnya sehingga musim panas, selari dengan perancangan kewangan dan perubahan peraturan Profit and Sustainability Rules (PSR).
Situasi itu tidak menghalang spekulasi, apatah lagi Martinez sendiri sebelum ini memberi bayangan terbuka kepada cabaran baharu selepas membina status ikonik di Villa Park sejak tiba dari Arsenal.
Perpindahan ke Inter berpotensi membuka pintu ke Liga Juara-Juara dan pentas Serie A, namun isu pengurangan gaji serta pendirian tegas Villa dijangka menjadi halangan utama dalam merealisasikan urus niaga itu.– AGENSI














