KUCHING – Tiada sebarang asid deoksiribonukleik (DNA) asing dikesan pada senjata dalam dijumpai dalam kes kematian pasangan suami isteri di sebuah rumah di Sri Aman minggu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan laporan kimia dan patologi daripada doktor yang melakukan bedah siasat ke atas mayat guru besar dan jururawat tersebut.
“Siasatan mendapati senjata yang digunakan mengandungi DNA kedua-dua mangsa yang berusia 44 dan 45 tahun. Tiada DNA asing,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini pagi tadi.
Katanya pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang kesan pencerobohan atau kehilangan barangan milik keluarga, sekali gus membawa kesimpulan awal bahawa kejadian tersebut hanya melibatkan pasangan suami isteri berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki dipercayai mengalami kemurungan sejak kebelakangan ini selepas pertukaran jawatan berdasarkan keterangan saksi,” katanya.
Jelasnya, pihaknya masih menunggu laporan forensik telefon bimbit pasangan itu bagi mengetahui motif sebenar kejadian. Setakat ini kira-kira 30 individu termasuk ahli keluarga, rakan, guru dan jiran mangsa dirakam keterangan.
Kosmo! Sebelum ini melaporkan hasil bedah siasat pada 15 Januari lalu mendapati terdapat 11 luka tikaman pada leher dan dada mangsa lelaki, manakala isterinya mengalami luka tikaman di leher.
Mayat pasangan itu ditemukan di rumah mereka di Taman Mutiara pada 14 Januari lepas.
Mangsa memiliki tiga anak berusia 17, 16 dan sembilan tahun.- KOSMO! ONLINE














