DEMI merealisasikan impian emas pertama di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, Kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi pelaksanaan Program Road to Gold (RTG) untuk tahun 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, RTG akan diteruskan sebagai inisiatif strategik negara dengan memberi tumpuan kepada atlet elit yang berada pada kedudukan ranking terbaik dunia.
Menurutnya, sokongan menyeluruh akan diberikan merangkumi latihan, pertandingan, sains sukan, perubatan sukan serta kebajikan atlet bagi memastikan persiapan dapat dilaksanakan secara berfasa.
“Bagi memburu pingat emas pertama Olimpik, program RTG diperkasakan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil komitmen yang penuh dan untuk tahun ini sebanyak RM12 juta (peruntuk) untuk program RTG.
“Selain aspek prestasi fizikal, KBS juga menekankan aspek kesejahteraan mental atlet melalui program pemerkasaan mental dan juga bagaimana atlet-atlet ini disiapkan dengan semangat partriotisme yang tinggi .
“Maka, kita ada kerjasama dengan ATM untuk memastikan atlet ini berjuang bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara keseluruhannya,” katanya ketika sesi Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat, semalam.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan persiapan ke arah Sukan SEA 2027 sudah bermula tahun ini dengan pelaksanaan pelan pembangunan atlet tiga fasa merangkumi pemilihan atlet berpotensi, pemerkasaan prestasi dan latihan sepenuh masa menjelang temasya itu.
“Satu sesi libat urus bersama semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) telah dilakukan pada 6 Januari 2026 bagi menyelaras hala tuju latihan dan program prestasi tinggi.
Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dengan penganjuran membabitkan empat kluster utama iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, selain senarai awal melibatkan 38 jenis sukan.
Selain itu, Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneruskan pelaksanaan Program ASIAKOM sebagai persiapan atlet ke arah Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.














