TERENGGANU FC (TFC) enggan terlalu selesa meskipun memiliki kelebihan agregat 2-0 menjelang aksi timbal balik Piala Malaysia menentang UM Damansara United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.
Pengendali interim TFC, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, kelebihan dua jaringan bukanlah jaminan laluan mudah buat skuad kendaliannya.
“Saya mengingatkan pemain-pemain agar kekal fokus dan berdisiplin sepanjang tempoh 90 minit perlawanan kelak.
“Kita tidak akan sesekali mengambil pendekatan bertahan semata-mata pada perlawanan malam esok (ini),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Tengku Hazman berkata, beliau telah mengarahkan anak buahnya agar terus menyerang bagi memburu jaringan tambahan di hadapan penyokong sendiri.
Beliau berkata, keutamaan skuad kendaliannya ialah mencipta peluang serta memastikan tekanan berterusan diberikan kepada lawan.
“Saya percaya jaringan akan hadir sekiranya tempo permainan demikian dikekalkan,” katanya.
“Skuad lawan pula dijangka akan tampil corak permainan berbeza termasuk membuka permainan untuk mencari gol awal bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














