BATU PAHAT – Perbuatan jahat seorang penganggur mencuri dan membawa lari beg tangan milik jemaah wanita sebuah masjid, tahun lalu membawa pada apabila dia dihukum penjara dipenjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Nur Muhammad Ilmi Muhammad Sa’if, 27, yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan mencuri berkuat kuasa dari tarikh ditangkap, 7 Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa dengan niat curang mencuri beg tangan mengandungi kad pengenalan dan ATM, telefon bimbit, kunci kereta, lima bentuk cincin emas serta wang tunai RM150 milik jemaah yang juga suri rumah.
Perbuatan itu dilakukan dilakukan di Masjid Jamek Seri Beroleh, Jalan Kluang-Batu Pahat, di sini, pada pukul 8,30 malam, 12 November tahun lalu.
Oleh itu, tertuduh yang juga duda itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengadu yang juga mangsa berhubung beg tangan hilang dicuri individu tidak dikenali.
Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa berada di masjid sebelum didatangi tertuduh yang kemudian bertindak melarikannya.
Bertindak atas laporan dibuat, pada pukul 3 petang, 7 Disember tahun lalu, tertuduh berjaya ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
Proses kawad cam dijalankan tiga hari selepas itu. Hasil kawad cam di IPD Batu Pahat, mangsa berjaya mengecam wajah dan juga fizikalnya.
Tertuduh ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Marang selama 12 bulan selepas terbabit dalam kes sama di Terengganu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).-KOSMO! ONLINE














