KULAI – Seramai 325 warga asing dikesan masih berdegil tidak memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan sejak 1 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Johor, Zulkarnain Yasin berkata, statistik itu menunjukkan tahap kesedaran kepada pematuhan keselamatan jalan raya khususnya kenderaan persendirian masih berada ditahap rendah.
Zulkarnain berkata, sejumlah 235 buah kenderaan disita, 459 buah diambil tindakan daripada keseluruhan 1,109 buah kenderaan yang diperiksa dalam operasi berkenaan.
Jelasnya, daripada jumlah itu, 152 kenderaan adalah motosikal, 69 buah motokar, 11 Lori dan tiga buah van.
Katanya, pesalah yang diambil tindakan adalah 195 orang warga Pakistan, 110 Bangladesh, 99 Indonesia, 23 Myanmar, 15 Nepal dan 17 lain-lain negara.
“Antara kesalahan yang direkodkan pula adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada insuran kenderaan, tiada lesen vokasional, kesalahan teknikal seperti tidak selenggara tayar, lampu brek tidak berfungsi serta tiada cermin sisi.
“Manakala lain-lain kesalahan yang turut membawa kepada tindakan adalah seperti tidak memakai topi keledar, tidak mengenakan tali pinggang keledar serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu,”katanya kepada pemberita ketika meninjau hasil operasi di Stesen Penguatkuasa JPJ Ayer Bemban di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE














