KUALA LUMPUR – Polis membongkarkan kewujudan mini kasino yang berselindung di sebuah kondominium di Sentul, di sini semalam.
Operasi bermula pukul 10 malam itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sentul.
Menurut JSJ Kuala Lumpur, mini Kasino itu dipercayai aktif sejak hujung November lalu, namun tidak didalangi oleh mana-mana sindiket.
“Premis beroperasi di kondominium yang disewa. Sasaran pemain adalah kenalan rapat atau jemputan tertentu bagi mengelak dikesan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil serbuan, polis menahan seramai 18 individu terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita tempatan serta dua wanita masing-masing warga Vietnam dan Thailand.
“Polis merampas meja poker, lapan buah kerusi, daun terup termasuk 625 cip pelbagai warna bernilai RM19,325. Mereka direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














