LUMUT – Lebih 300 buah masjid di seluruh Perak terlibat dalam program Jualan Ikan Murah yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak yang bermula hari ini.
Pengarah LKIM Perak, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, lokasi pertama program yang julung kalinya diadakan itu di Masjid Nurul Hidayah, Seri Manjung dan akan diteruskan di masjid-masjid terpilih di seluruh negeri.
Katanya, sebanyak 500 kilogram (kg) hingga 1 tan ikan akan dijual di masjid-masjid tersebut, bergantung kepada jumlah penduduk di kawasan terlibat.
“Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan bekalan ikan pada harga murah dan berkualiti. LKIM Perak komited dalam memastikan bekalan sumber ikan sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Perak dan jawatankuasa masjid atas kerjasama baik dalam menjayakan program ini,” katanya kepada Kosmo! di Seri Manjung hari ini.
Mengulas mengenai jualan di Masjid Nurul Hidayah, Ahmad Zulkifli berkata, antara hasil laut yang dijual termasuk kerang, sotong dan ketam serta pelbagai jenis ikan seperti kembung, sardin selain ikan merah.
Katanya, harganya juga dijual murah bagi memastikan golongan sasaran dapat membelinya sekali gus dimanfaatkan oleh mereka dan ahli keluarga.
Pada program ini, kerang dijual RM13 sekilogram, ikan kembung (RM12), ikan sardin (RM12), udang (RM26), sotong (RM26), ketam (RM27) dan ikan merah RM25 seekor.
“Sebanyak 500kg hasil laut dijual bermula pukul 12.30 tengah hari. Kesemuanya habis dijual pada pukul 3 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














