fbpx
Papan tanda bertulis ‘Greenland bukan untuk dijual' dilihat di Nuuk kelmarin. - AFP

Konflik Greenland: Trump buat ‘U-turn’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DAVOS, SWITZERLAND – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik balik ugutan untuk merampas Greenland secara paksa daripada sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Denmark, dengan mengumumkan ‘perjanjian samar-samar’ yang bertujuan untuk memastikan keselamatan wilayah Artik.

Trump turut mengumumkan menerusi platform Truth Social bahawa beliau menarik balik ancaman tarif 25 peratus ke atas negara-negara Eropah yang sebelum ini bersuara menentang ugutannya terhadap Greenland.

Bercakap kepada pemberita di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Trump berkata, rangka kerja yang memberi Washington semua yang dimahukannya telah dirundingkan dengan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte.

“Ia akan meletakkan semua pihak dalam kedudukan yang sangat baik, terutamanya berkaitan keselamatan, mineral dan segala-galanya,” kata Trump beberapa jam selepas ucapan di mana beliau dilihat menghapuskan ancaman kekerasan untuk merampas Greenland.

Apabila ditanya sama ada Denmark akan terus mengawal wilayah autonominya itu, Rutte berkata, isu kedaulatan Greenland tidak timbul dalam perbincangannya dengan Trump.

Bercakap kepada saluran berita Fox News, Rutte memberikan sedikit butiran tentang status baharu Greenland, dengan mengatakan bahawa NATO akan terus berusaha untuk melindungi wilayah Artik daripada musuh seperti Russia atau China.

Trump menulis Truth Social kelmarin: “Kami telah membentuk rangka kerja perjanjian masa depan berkenaan Greenland dan seluruh wilayah Artik secara holistik.

“Penyelesaian ini jika disempurnakan, akan menjadi penyelesaian yang hebat untuk Amerika dan semua negara NATO,” tambahnya.

Selepas bertemu Rutte di pusat peranginan Alpine Switzerland, Trump memberitahu pemberita bahawa perjanjian yang mungkin berlaku adalah melibatkan hak mineral, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Beliau juga berkata, sekutu Eropah boleh bekerjasama dalam rancangannya yang lain untuk sistem pertahanan Kubah Emas bagi melindungi AS daripada serangan peluru berpandu jarak jauh.

Selain lokasi strategik Greenland, AS bercakap tentang rizab mineral nadir bumi yang luas di pulau itu dengan sebahagian besarnya belum diterokai. Kebanyakannya adalah penting untuk teknologi termasuk telefon bimbit dan kenderaan elektrik.

“Ia adalah perjanjian jangka panjang yang muktamad,” kata Trump kepada pemberita. 

“Ia meletakkan semua orang dalam kedudukan yang sangat baik, terutamanya yang berkaitan dengan keselamatan dan mineral. Ini adalah perjanjian selama-lamanya,” tambah beliau.

Ancaman Trump sebelum ini telah mencetuskan salah satu krisis transatlantik terbesar dalam beberapa dekad, dengan amaran bahawa beliau boleh meruntuhkan pakatan NATO secara bersendirian melalui pencerobohan terhadap rakan sekutunya.

Komen terbaharu beliau itu bagaimanapun membawa kelegaan di Denmark, yang telah lama menjadi sekutu teguh AS, di mana ancaman agresif Trump telah mencetuskan kejutan dan perasaan dikhianati.

“Trump berkata bahawa beliau akan menghentikan perang perdagangan. Beliau berkata ‘saya tidak akan menyerang Greenland’. Ini adalah mesej positif,” kata Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen kepada stesen televisyen DR.

Trump sebelum ini mengancam untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas mana-mana dan semua barangan yang dihantar dari lapan negara Eropah bermula 1 Februari ini, dan meningkat kepada 25 peratus mulai 1 Jun, sehingga perjanjian dicapai untuk Washington membeli Greenland dari Denmark.

Negara-negara itu terdiri daripada Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, Belanda, Britain dan Finland, yang semuanya merupakan ahli NATO.

Kesatuan Eropah kemudian mengeluarkan ancaman balas dengan membincangkan langkah menghidupkan semula rancangan untuk mengenakan tarif ke atas barangan AS bernilai €93 bilion (RM439 bilion). – AFP/AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN