PUTRAJAYA- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan pendirian kerajaan dalam mengekalkan kawalan keselamatan di sempadan negara.
KDN dalam satu kenyataan berkata, pendirian tegas ini adalah kritikal bagi menjamin kedaulatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Kata KDN, PDRM kekal komited melaksanakan pemantauan rapi, penguatkuasaan undang-undang yang berterusan serta kawalan kemasukan dan tindakan pencegahan.
“Tindakan itu bagi mengekang kemasukan secara tidak sah mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan di selatan Thailand.
“Sebagai langkah pencegahan proaktif, PDRM, khususnya di negeri Kelantan telah mengambil tindakan segera merobohkan pangkalan haram dan menutup laluan tidak sah di sepanjang sempadan.
“Selain itu, rondaan bersama secara berterusan dengan agensi keselamatan turut dilaksanakan
dan dipertingkatkan,” katanya di sini hari ini.
KDN berkata, matlamt utama pendekatan bersepadu itu bertujuan menyekat sebarang pergerakan elemen dan rangkaian sokongan pihak tertentu.
“Ia juga bagi menghalang Malaysia daripada dieksploitasi sebagai laluan transit, tempat perlindungan atau pangkalan sokongan yang berpotensi menjejaskan usaha rundingan damai dan kestabilan serantau.
“Usaha-usaha ini turut disokong dengan mempertingkatkan pengumpulan dan
perkongsian maklumat risikan keselamatan di peringkat serantau termasuk menerusi platform Mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara (JKPKSN).
JKPKSN berfungsi sebagai mekanisme penyelarasan antara kementerian dan agensi yang berkaitan dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan negara. – KOSMO! ONLINE














