PETALING JAYA – Jenazah pegawai Unit VAT 69 Komando yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah, semalam dibawa pulang ke Perak untuk dikebumikan, hari ini.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, mengiringi penghantaran pulang jenazah Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin di Lapangan Terbang Tawau, Sabah.
Allahyarham dibawa menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia jenis C130 menuju ke Lapangan Terbang Ipoh, Perak.
Jenazah kemudian akan dibawa ke 69 Komando Pasukan Gerakan Khas untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bakar Bata Tanjung Rambutan petang ini.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang pegawai Unit VAT 69 Komando meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah, hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, pegawai berkenaan diberikan bantuan kecemasan serta rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.
Namun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan perubatan.
Mohd. Khalid berkata, PDRM sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk penilaian terhadap prosedur latihan, penggunaan peralatan serta faktor kesihatan dan keselamatan, selaras dengan peraturan dan tatacara operasi standard yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














