fbpx
PEARLY dan Thinaah menepati ramalan ke separuh akhir Indonesia Masters.

Indonesia Masters: Pearly-Thinaah tempah slot separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu wanita No. 1 negara Pearly Tan-M. Thinaah menepati ramalan mara ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters 2026 di Istora Senayan, Jakarta hari ini.

Turun selaku pilihan pertama kejohanan, pasangan ranking kedua dunia itu tidak berdepan masalah melepasi peringkat suku akhir apabila mudah membenam gandingan Korea Selatan, Kim Yu Jung-Lee Yu Lim dengan keputusan 21-15, 21-9 dalam tempoh 29 minit.

Kemenangan dalam pertemuan sulung itu membolehkan Pearly-Thinaah melangkah ke separuh akhir esok.

Kecemerlangan kem negara diteruskan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas gandingan ranking keempat dunia itu berjaya menyingkirkan pasangan Singapura-Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja menerusi kemenangan 21-16, 21-19 dalam aksi yang memakan masa 37 minit.

Ini merupakan kemenangan pertama Tang Jie-Ee Wei ke atas lawan tersebut, namun ujian sebenar menanti mereka di separuh akhir apabila dijadual bertemu pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada pasangan China itu dengan keputusan 5-2.

Melengkapkan hari gemilang skuad negara adalah beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menjadi wakil keempat Malaysia menempah tiket ke separuh akhir selepas perseorangan wanita, K. Letshanaa terlebih dahulu menempah tiket ke separuh akhir.

Beregu ranking kesembilan dunia itu mengenepikan cabaran pasangan Korea Selatan, Cho Song Hyun-Lee Jong Min dengan keputusan straight set 21-17, 21-13 dalam masa 34 minit.

Di separuh akhir, Sze Fei-Izzuddin bakal berdepan laluan lebih mencabar menentang sama ada beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard atau gandingan profesional Choi Sol Gyu (Korea Selatan)-Goh V Shem (Malaysia). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN