KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa mencipta kejutan di Istora Senayan, Jakarta apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters 2026 selepas menundukkan wakil Taiwan, Huang Yu Hsun, sebentar tadi.
Dalam aksi suku akhir itu, Letshanaa yang menghuni ranking ke-42 dunia mempamerkan aksi bertenaga untuk melakar kemenangan straight set 21-17, 21-18 dalam tempoh 40 minit.
Kemenangan itu lebih bermakna apabila Letshanaa menjadi pemain perseorangan wanita pertama negara mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Super 500 sejak kali terakhir dilakukan Goh Jin Wei pada Terbuka Hong Kong 2023.
Bermula di set pertama, pemain berusia 24 tahun itu tampil garang mendahului 8-2 dan terus mengawal gelanggang tanpa membiarkan lawan yang berada di ranking ke-37 dunia itu bangkit, sebelum melengkapkan kemenangan 21-17.
Tersentak dengan keputusan itu, Yu Hsun mengubah corak permainan dan taktikal pada set kedua sehingga memaksa Letshanaa bekerja keras.
Perlawanan berlangsung sengit apabila kedudukan terikat beberapa kali bermula 7-7, 12-12 hingga 15-15.
Bagaimanapun, ketenangan memihak kepada Letshanaa apabila berjaya mendahului 17-16 sebelum memastikan kemenangan menjadi miliknya 21-18.
Kemenangan ini cukup bermakna buat Letshanaa kerana ia bukan sahaja menebus kekecewaannya yang pernah tumbang kepada lawan sama pada edisi 2023, malah menamatkan kemarau panjang skuad perseorangan wanita negara di kejohanan ini.
Sebagai rekod, kali terakhir wakil perseorangan wanita Malaysia melangkah ke separuh akhir Indonesia Masters adalah menerusi Goh Jin Wei pada edisi 2016 yang ketika itu berstatus Grand Prix Gold.
Ketika itu, Jin Wei berjaya menewaskan pemain Thailand, Nitchaon Jindapol di separuh akhir sebelum tewas kepada Busanan Ongbamrungphan di pentas final.
Esok, Letshanaa dijadual bertemu pemain Thailand yang menghuni ranking ke-36 dunia, Pitchamon Opatniputh bagi perebutan tiket ke final, dengan kedua-dua pemain belum pernah bertemu sebelum ini.
Letshanaa berpeluang mencipta satu lagi sejarah besar sekiranya berjaya melangkah ke final apabila berpotensi menjadi pemain perseorangan wanita pertama negara mara ke perlawanan akhir kejohanan bertaraf Super 500. -KOSMO! ONLINE














