fbpx
DONNARUMMA memberi bayangan yang kurang baik apabila dilapor bersedia untuk kembali ke Itali biarpun baru menyertai City. - AFP

EPL: Donnarumma cetus resah City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Penjaga gol Manchester City, Gianluigi Donnarumma mencetuskan sensasi apabila ejennya mendedahkan dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali beraksi di Itali meskipun baru empat bulan berada di Etihad.

Donnarumma, 26, menyertai City dari Paris Saint-Germain (PSG) pada hari terakhir perpindahan musim panas lalu menerusi perpindahan bernilai £26 juta (RM141 juta), selepas diketepikan di kelab Perancis itu meskipun membantu mereka menjuarai Liga Juara-Juara.

Penjaga gol antarabangsa Itali itu kini merupakan pilihan utama di Etihad, namun wakilnya, Enzo Raiola mengakui kliennya tidak pernah menutup peluang untuk kembali beraksi di Serie A.

“Hari ini di Manchester City, dia menemui ketenangan bersama pasukan dan persekitaran dan dia sangat menyukai projek kelab. Dia juga sedang mula memahami kejuaraan England.

“Namun, jika ada peluang untuk kembali ke Itali, kami akan ambilnya,” tegasnya, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai masa depan penjaga gol itu.

Kenyataan tersebut dijangka menghidupkan semula minat kelab gergasi Serie A seperti Juventus dan Inter Milan yang sebelum ini memantau situasinya selepas Donnarumma diketepikan oleh pengurusan PSG.

Bagaimanapun, halangan terbesar ialah gaji lumayan yang dinikmatinya di City, dianggarkan sekurang-kurangnya £13 juta (RM70.67 juta) bersih setahun tidak termasuk bonus, selain kontrak jangka panjang sehingga 2030 dengan opsyen lanjutan setahun.

Donnarumma sudah mengumpul 24 penampilan bersama City setakat ini, namun pengakuan terbuka agennya jelas membuka ruang kepada drama perpindahan besar sekiranya tawaran tepat muncul dari tanah airnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI