fbpx
RISAU berdepan skeptikal umum, Sarimah Ibrahim seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada terlalu menunjuk barang dan kehidupan mewah dimiliki dalam media sosial.

‘Benda kita kongsi ibarat billboard, buat orang rasa jauh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Susulan luahan pelakon Toh Puan Syamim Freida yang berasakan seolah-olah dijauhi rakan taulan disebabkan berstatus isteri kerabat diraja menarik perhatian ramai, termasuk pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim yang mengakui berdepan situasi serupa.

Sarimah, 48, bagaimanapun sentiasa berusaha merendah diri serta mengekalkan sikap mesra agar tidak wujud jurang antara dirinya dengan masyarakat dan rakan industri.

“Selalu (orang takut mendekati) kemudian saya rasa pelik sebab dahulu kan saya mula sebagai pengacara kanak-kanak. Jadi, bila dah lepas kahwin, persepsi orang kadang-kadang lebih kuat daripada realiti.

“Persepsi itulah sebenarnya kadang-kadang kita kena terbuka. Kita kena jumpa orang supaya orang fikir kita macam biasa.

“Kita orang Johor, tak pernah ada istilah menunjuk dan sombong. Tidak boleh, kita kena rileks tapi susah nak mengatasi persepsi orang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! Di TGV Cinema Suria KLCC, baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon drama Lelaki Itu menyedari media sosial turut memainkan peranan besar dalam membentuk tanggapan orang sekeliling terhadap seseorang individu.

“Mungkin cara kita letak diri kita dalam media sosial, gambar yang kita muat naik, hantaran kita letak atau benda kita kongsikan ibarat sebuah ‘billboard’.

“Jadi, kadang-kadang benda yang kita kongsi itu yang boleh buatkan orang rasa jauh dengan kita.

“Kadang-kadang saya pun takut nak letak. Tapi apabila fikir balik itulah diri saya sebenarnya, apa salahnya?,” jelasnya.

Sarimah turut menegaskan dirinya sentiasa berhati-hati agar tidak keterlaluan dalam berkongsi kemewahan atau perkara bersifat peribadi.

“Saya tak suka menunjuk dalam media sosial, saya tak tunjuk kalau dapat hadiah sebab saya selalu ingat ada orang di luar sana yang perhatikan dan mereka teringin nak ada benda itu, mungkin dari situ, kita buat orang sedih.

“Jadi, saya selalu cuba untuk berkongsi hal yang normal dan mendekati kawan-kawan macam Ijah (pengarah), Abang Suhaimi (penerbit). Semua orang ini saya sentiasa ada hubungan, jadi berkawan walaupun kita ubah status, kita masih kawan.

“Itu penting, kena selalu mesej tanya ‘awak okey tak, sibuk ke, bila nak ajak kita berlakon’, tak boleh sombong dan malu.

“Dari situ datangnya rezeki. Kita kena terbuka dan kena berani minta sebenarnya, tak boleh menunggu,” tuturnya lagi.

Sebelum ini, Syamim yang juga isteri kepada kerabat diraja Selangor itu berharap orang ramai termasuk rakan industri seni tidak perlu segan untuk mendekatinya terutama melibatkan hal kerjaya dan pekerjaan.

Luahan tersebut dipercayai dibuat Syamim yang merasakan dirinya sering dijauhi hanya kerana status yang digalas selepas mendirikan rumah tangga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI