IPOH – Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat multinasional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menerima dan melupuskan wang lebih RM1.4 juta milik sebuah syarikat di Indonesia, tiga tahun lalu.
Tertuduh, V. N. Vemal, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara tidak jujur telah menerima harta curi dalam akaun Maybank miliknya iaitu wang berjumlah RM1,479,289.94 kepunyaan PT Parit Sembada yang merupakan anak syarikat milik Kuala Lumpur Kepong Berhad.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Jalan Sultan Idris Shah dalam daerah Ipoh pada 29 September 2023.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara tidak jujur melupuskan harta iaitu wang berjumlah RM1,082,005 dengan mengalihkan wang itu daripada akaun Maybank miliknya ke akaun Syarikat Pine Properties sedangkan dia mengetahui wang itu milik PT Parit Sembada di lokasi dan tarikh yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Gurbachan Singh dan Aashwini Rajan.
Terdahulu, Muhammad Zulqarnain mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi dua pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Mac depan.- KOSMO! ONLINE














