KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar menegaskan mahu membersihkan namanya melalui saluran undang-undang.
Perkara itu dinyatakan menerusi peguamnya Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Mohd. Nizam ketika ditemui selepas prosiding kes hari ini.
Menurut peguam itu, anak guamnya sudah berkhidmat selama 42 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Beliau berdepan dengan empat pertuduhan kesemuanya. Dua pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Satu pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan satu lagi pertuduhan Seksyen 165 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan.
Jadi, beliau ingin membela diri di mahkamah. Beliau mahu menjawab pertuduhan-pertuduhan berkenaan dan membersihkan namanya,” katanya.
Terdahulu Mohd. Nizam mengaku tidak bersalah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 dan satu pertuduhan pecah amanah RM3 juta.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), telah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM552,481.90 bagi dirinya sendiri.
Ia yang mana tertuduh melantik lima buah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja antaranya “Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025”, “Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” dan “Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025”
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak,Kementah di sini pada 24 Jun 2024 yang didakwa suatu kesalahan dibawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000.00 mengikut manamana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan di dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, pada 4 Oktober 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara pertuduhan keempat, Mohd. Nizam didakwa sebagai PAT ATM telah menerima untuk dirinya sendiri wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah yang mana tertuduh ketahui mungkin ada kena-mengena dalam urusan yang akan dijalankan olehnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM180,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 31 Mac ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














