JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Pahang bercadang akan menambah peruntukan dan kadar bantuan ‘one-off’ kepada pelajar anak negeri yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi menerusi pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penambahbaikan bantuan sekali bayar berkenaan akan dilaksanakan mulai tahun hadapan selepas mendengar keluhan pelajar berhubung peningkatan harga barangan keperluan harian.
“Insha-Allah melihat kepada kenaikan kos barang dan sebagainya serta rintihan pelajar-pelajar, kerajaan negeri akan memikirkan untuk penyambungan supaya tahun depan kita akan bagi tambahan sedikit bantuan ‘one-off’ ini.
“Namun ianya bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan negeri, tapi insha-Allah berasaskan kepada tren pengurusan kewangan di negeri Pahang terkini, keadaan ini akan bertambah baik dan kita akan kembalikan kepada rakyat terutama kepada pelajar-pelajar,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran IM Pahang, Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa 2026 di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM9 juta tahun ini, meningkat RM1 juta berbanding tahun sebelumnya.
Jelasnya, peruntukan itu membabitkan bantuan one-off RM400 kepada kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang yang layak di institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara.
“Bantuan ini telah ditambah baik secara berperingkat sejak 2022 bermula RM200, dinaikkan kepada RM300 pada 2023 dan RM400 sejak 2025, serta dikekalkan bagi tahun 2026 sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri,”katanya.
Tambah Wan Rosdy lagi, selain bantuan kewangan tersebut, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang turut menyediakan pelbagai sokongan pendidikan lain.
Antaranya, geran Bantuan Pelajaran one-off sebanyak RM700 kepada pra siswazah dan RM1,200 kepada pasca siswazah, kemudahan pinjaman pendidikan serta biasiswa melalui Skim Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Skim Pelajar Cemerlang (SPC).-KOSMO! ONLINE














