IPOH – Jaga ibu, jaga adik-adik dan keluarga.
Itu pesanan yang dititipkan oleh Allahyarham Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin, 45, kepada anak lelaki sulungnya, Zharif Iman, 19, sebelum pegawai kanan polis itu berangkat mengikuti latihan di Sabah pada 15 Januari lalu.
Menurut Zharif, pesanan yang kini terpahat sebagai antara kenangan terakhir bersama bapanya itu disampaikan ketika mereka berdua menaiki kereta.
“Hanya saya dan ayah sahaja dalam kereta ketika itu, dia banyak beri nasihat untuk saya antaranya untuk tengok-tengokkan adik, jaga ibu dan jaga keluarga.
“Ayah memang sentiasa menasihati saya, sebagai anak sulung saya kini memikul tanggungjawab untuk menjaga keluarga,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan di Kampung Bakar Bata di sini hari ini.
Menurut Zharif, berita pemergian bapanya itu diketahui sekitar pukul 12 tengah hari ketika dia sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Katanya, pada mulanya dia tidak berdaya menahan perasaan sedih, namun sokongan daripada guru dan ahli keluarga terdekat memberinya kekuatan untuk meneruskan peperiksaan tersebut. – KOSMO! ONLINE














