PETALING JAYA – Selepas 10 tahun berkhidmat sebagai penyampai radio Sinar FM, pelawak terkenal Jep Sepahtu akhirnya mengundurkan diri dari stesen itu.
Pengumuman itu dibuat Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nazri Zainal Abidin, 41, dalam satu hantaran Instagram. Menurutnya, hari ini adalah Jumaat terakhir dia bertugas sebagai penyampai radio di Sinar FM.
“Alhamdulillah izin Allah 10 tahun tumpang cari rezeki di sini. Daripada bujang, kahwin sampailah dah ada anak.
“Terima kasih Sinar FM untuk jasa yang tak terbalas,” tulisnya.
Suami kepada Sari Yanti itu turut mencoretkan luahan terima kasih tidak terhingganya kepada bekas majikan yang dianggap seperti darah daging sendiri.
“Ini bekas bos aku. Aku anggap dia macam kakak aku sendiri sebab hormat aku lebih tinggi daripada jawatan dia. Terima kasih Shidah Khasim untuk segala kebaikan kau buat untuk aku. Sampai jumpa lagi,” tulisnya.
Sementara itu menjengah ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa sedih atas pengunduran Jep.
Menurut netizen, Jep sentiasa menceriakan pagi mereka tatkala ke udara setiap pagi menerusi segmen Pagi Di Sinar bersama Rahim dan Ray.
“Hilanglah sinar di Sinar FM bila Jep dah tak ada. Suka dengar Jep merapu,” demikian antara komen netizen. – KOSMO! ONLINE














