PETALING JAYA – Seorang pemuda Islam dipercayai mahu membuat urusan berkaitan pernikahan di sebuah pejabat agama, namun tidak memahami perkara asas seperti mengucap syahadah dan membaca al-Fatihah, mengundang kebimbangan orang ramai.
Menerusi video dimuat naik seorang kakitangan sebuah pejabat agama di Johor, Solihyn Ramly pada TikTok, lelaki tersebut bertanya soalan asas kepada pemuda berkenaan.
“Awak mualaf baru masuk Islam ke? Lahir dari kecil (Islam). Macam tak pernah mengucap je, payah macam ni. Dalam solat ada mengucap, cuba baca tahiyat akhir. Sembahyang baca apa?,” katanya menerusi perbualan dengan pemuda tersebut.
Bagaimanapun, bacaan al-Fatihah dan syahadah pemuda itu dikatakan masih terdapat kesilapan, sekali gus ia perlu diperbetulkan.
“Korang semua nilaikan sendiri bagaimana tahap kefahaman agama seorang lelaki yang nak berkahwin, umur 22 tahun. Jadi tak pelik kenapa lelaki sekarang ramai tak ada tanggungjawab dalam rumah tangga.
“Tanggungjawab dan agama pun disambil sambil lewa. Moga Allah beri hidayah untuk kita semua,” kata Solihyn pada kapsyen.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai berhubung tahap kefahaman agama dalam kalangan umat Islam di negara ini, selain ada yang berkongsi realiti pada masa kini.
“Saya buat kursus kahwin tahun 2017, hampir separuh dewan lelaki tak boleh dan tak pandai mengucap,” komen pengguna TikTok Nurulkauthar292.
“Kat pejabat saya, lelaki semua tak solat zuhur. Waktu lain tak tahu lah, tapi solat Jumaat pun tak,” komen Neemo.
“Pejabat saya dulu, geng lelaki mantap bab solat. Solat asar berjemaah, solat Jumaat pergi sama-sama. Yang perempuan pula tak solat. Sedih pula saya, tapi dia orang semua okey. Saya tak mampu nak tegur, jadi doa sajalah moga suatu masa nanti dia orang jaga solat,” kata Chantiqbyme. – KOSMO! ONLINE
@solihynramly Moga Allah beri Hidayah🤲🤲😭 #kahwin #interview ♬ original sound – Solihyn Ramly














