KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini dengan wajah sugul tanpa memberi sebarang komen berhubung empat pertuduhan rasuah melibatkan dirinya.
Muhammad Hafizuddeain, 58, yang diiringi dua individu lain, meninggalkan mahkamah kira-kira pukul 3.08 petang selepas dipercayai selesai membayar wang jaminan sebanyak RM250,000 sekitar pukul 3 petang tadi.
Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain dan isteri ketiganya, Salwani Anuar, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM2.19 juta.
Sebelum ini, Salwani meninggalkan mahkamah sekitar pukul 12.48 tengah hari dengan menaiki kerusi roda akibat masalah bisul kronik pada bahagian paha selepas selesai membayar jaminan RM30,000 kira-kira 15 minit sebelumnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE














