fbpx
King Sing

Usah jadikan makanan punca polemik – King Sing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan makanan sebagai punca polemik yang tidak perlu.

Menurut beliau, kepelbagaian masakan yang dikongsi bersama di Malaysia bukan untuk dipolitikkan, tetapi untuk diraikan oleh semua.

“Ia bukan sesuatu yang memecah-belahkan, sebaliknya menyatukan kita di satu meja dalam suasana aman dan harmoni.

“Isu-isu mencetuskan perpecahan berupaya mencemarkan gambaran sebenar budaya Malaysia, menjejaskan sektor pelancongan serta merosakkan imej negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

King Sing berkata, kekuatan Malaysia sejak dahulu terletak pada kepelbagaian agama, kaum dan budaya, malah merupakan identiti utama negara ini.

Ujar beliau, toleransi, saling menghormati dan bekerjasama adalah asas yang membolehkan Malaysia terus kekal harmoni serta menarik di mata dunia.

Justeru, katanya, amat menyedihkan apabila ada pelawat berkongsi pandangan mereka tidak lagi merasai keharmonian di Malaysia seperti dahulu.

“Ini menjadi peringatan bahawa kita perlu berusaha lebih gigih, bukan sahaja dalam mempromosikan produk pelancongan, tetapi juga dalam mempamerkan nilai-nilai murni yang menjadikan Malaysia istimewa.

“Marilah kita terus meraikan keunikan makanan, kepelbagaian dan perpaduan kita, bukan hanya sebagai aset pelancongan, tetapi juga sebagai jiwa Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI