MADRID – Real Madrid dilihat sudah kembali ke prestasi terbaik selepas membelasah AS Monaco 6-1 pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang berlangsung di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Kylian Mbappe menjaringkan dua gol buat Los Blancos manakala empat lagi gol hadir menerusi Franco Mastantuono, Vinicius Junior, Jude Bellingham serta gol sendiri Thilo Kehrer.
Jurulatih Real, Alvaro Arbeloa meluahkan rasa gembira atas kemenangan tersebut, lebih-lebih lagi mereka sedang berdepan situasi tidak menentu selepas memecat pengendali terdahulu, Xabi Alonso.
“Saya fikir ia satu perlawanan yang sangat menarik, terutamanya bermain di hadapan penyokong sendiri. Saya dapat tengok semua pemain dapat bermain dengan bebas dan sangat seronok hari ini (semalam).
“Inilah bola sepak yang kami mahukan di Real, pemain-pemain juga menjaringkan gol cukup hebat. Mereka menunjukkan semangat juang cukup tinggi dan kemenangan ini berpunca daripada pemain,” katanya.
Tambah beliau, tidak banyak arahan taktikal yang diberikan kepada pemain-pemainnya sepanjang perlawanan itu memandangkan mereka sudah faham apa perlu dilakukan bagi mencatat kemenangan.
“Saya hanya berikan sedikit arahan dan mereka mudah untuk memahami dan melaksanakannya. Saya gembira dengan mentaliti serta sikap seperti ini kerana ia merupakan identiti sebenar Real Madrid,” ujar Arbeloa. – AGENSI














