KUALA LUMPUR – Usahawan Datuk Seri Aliff Syukri menerapkan didikan yang tegas mengenai batas pergaulan terhadap anak-anaknya adalah disebabkan bimbang selepas melihat lambakan masalah sosial dalam kalangan remaja hari ini.
Menurut Syukri, perkara tersebut sangat ditekankan terhadap anak-anaknya, terutama apabila kediamannya menyaksikan keluar masuk beberapa pekerja lelaki hampir setiap hari.
“Dalam rumah saya itu selalunya ada dalam 15 orang, termasuk enam orang anak, isteri iaitu Datin Seri Shahida dan lima orang lekaki merangkap pembantu peribadi (PA), setiap hari orang keluar masuk. Jadi, yang wanita semua memang diwajibkan bertudung.
“Anak-anak saya pula masih kecil dan bermanja-manja pula dengan PA. Walaupun belum haram lagi, saya tak mahu mereka terbiasa.
“Sebab bagi saya, perempuan bila dia dah mula manja tergedik-gedik, nanti akan terbawa sampai ke besar, tetapi tiba-tiba Raudah bermanja-manja pula dengan PA saya, memang saya mengamuk.
“Kemudian Raudah mengadu pada kakaknya, Qadejah sebelum dinasihatkan perlu jaga batas dan sebagainya. Tapi saya tak rekodlah keadaan ketika mengamuk itu,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran koleksi tas tangan terbaharu D’herbs bersama Izara Aishah di sini, semalam.
Shukri menambah, dia tidak pernah berniat untuk mengongkong kebebasan anak-anaknya tetapi setiap aktiviti yang dilakukan haruslah dimaklumkan lebih awal atau melibatkan ahli keluarga lain.
“Saya sendiri takut bila tengok gejala sosial semakin berleluasa tambahan pula saya ada dua anak perempuan.
“Contohnya Qadejah kalau nak keluar, memang akan ada adik-beradik dia ikut. Kalau Ammar Ahyan pula, setiap kali dia keluar memang akan hantar mesej seperti ‘proposal’, maklumat secara terperinci.
“Memang ada banyak benda tak elok berlaku di luar sana, kami memang berjaga-jaga dan tegas,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular sebuah video Qadejah menasihatkan adik-beradiknya mengenai batas pergaulan dengan lelaki bukan mahram.
Untuk rekod, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Shahida pada Ogos 2007.
Selain Ammar, pasangan ini mempunyai lima lagi cahaya mata iaitu, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham , Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim. – KOSMO! ONLINE














