fbpx
Antara warga Bangladesh yang ditahan di Taman Maluri di sini pada Selasa lalu.

‘Safe house’ diserbu, lagi pembongkaran ‘Sindiket Iqbal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebuah pangsapuri di Taman Maluri, di sini yang dijadikan rumah penampungan sementara atau ‘safe house’ bagi aktiviti penyeludupan migran diserbu pihak Jabatan Imigresen (JIM) pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi itu, lima lelaki berusia 27 hingga 44 tahun disyaki migran yang diseludup ditahan.

“Turut ditahan dua lelaki berusia 56 dan 28 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pengatur atau penjaga rumah penampungan dan penghantar (transporter) bagi rangkaian sindiket.

“Kesemua mereka merupakan warga Bangladesh. Pemeriksaan lanjut mendapati pasport warga asing tersebut tidak mempunyai cap pengesahan masuk yang sah ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran turut disita.

Operasi dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan migran melibatkan warga Bangladesh yang memasuki negara ini secara haram menggunakan laluan ‘tikus’ di Kelantan.

Katanya, risikan mendapati warga asing yang diseludup mempunyai kaitan dengan ‘Sindiket Iqbal’ yang berjaya ditumpaskan JIM di Kelantan baru-baru ini.

“Modus operandi sindiket adalah menyeludupan migran melalui laluan darat. Premis di Taman Maluri dijadikan sebagai rumah penampungan sementara bagi migran yang baru tiba dari Pantai Timur.

“Mereka  dipercayai dibawa masuk melalui laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand sebelum dihantar ke destinasi seterusnya,” katanya.

Operasi tersebut turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI