KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan tiada klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan dasar Bumiputera.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perjanjian terbabit tidak menyediakan hak istimewa kepada syarikat AS.
“Kerajaan ingin menekankan bahawa setiap perjanjian perdagangan antarabangsa yang dirundingkan, termasuk ART sentiasa dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati bagi memastikan ia tidak menjejaskan kepentingan domestik dan kedaulatan negara.
“Setiap komitmen dipersetujui melalui perjanjian ini adalah selaras dengan undang-undang domestik sedia ada dan keutamaan kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan perjanjian ART tidak mendiskriminasi kepentingan domestik, termasuk keupayaan menyokong GLC, dasar Bumiputera, kutipan cukai digital, perlindungan industri pertanian dan perikanan tempatan serta autoriti badan kawal selia strategik negara.
Johari berkata, perjanjian ART tidak mengehadkan peranan GLC dalam pembangunan ekonomi negara, malah kerajaan tetap berkuasa penuh untuk menentukan sokongan yang bersesuaian termasuk inisiatif yang bertujuan memperkukuhkan ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat.
“Bagi perkara berkaitan cukai digital, ART tidak menghalang Malaysia untuk mengenakan cukai digital selagi ianya tidak mendiskriminasi syarikat AS.
“Kerajaan akan terus berusaha untuk membangunkan industri pertanian dan perikanan negara. Walau bagaimanapun, pada masa ini negara masih merupakan net importer bagi produk-produk pertanian dan perikanan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














