MELAKA – Seorang pemuda didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan lampu pagar di kawasan tanah perkuburan Masjid An-Nur, Bukit Peringgit, minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Syafian Muhammad, 27, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan lampu pagar di kawasan tanah perkuburan Masjid An-Nur, Bukit Peringgit dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7.15 malam, pada 16 Januari lalu.
Perbuatan itu mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,180 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Muhammad Syafian tidak diwakili peguam, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal diberikan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Terdahulu, Muhammad Syafian turut kelihatan tersenyum ketika diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman tersebut. – KOSMO! ONLINE














