BENTONG – Pelajar maahad tahfiz dan sekolah pondok disaran menguasai teknologi digital terutamanya teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk berdepan dengan cabaran era digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia yang kini terancam dengan penguasaan AI hanya boleh ditangkis dengan benteng pertahanan iman, akidah dan akhlak agar tidak tersasar dengan nilai rakyat.
“Maka sebab itu saya katakan, antara rujukan, pelajar maahad tahfiz dan sekolah pondok ke TVET supaya didedahkan dengan teknologi baharu ini. Tak ganggu (pembelajaran) yang lama, tapi tambah sedikit (ilmu baharu).
“Kalau Tok Guru setuju, segalanya akan dibantu untuk penambahan maklumat seterusnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maahad Seluruh Bentong di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.
Jelas Anwar, maahad dan sekolah pondok juga disaran menambah mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam pembelajaran mereka serta bersedia menerima kenyataan serta perubahan bagi persiapan sebagai pendakwah, pendidik dan mualim yang mampu menghadapi zaman digital ini.
Sementara itu katanya, untuk tahun ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk penyelenggaraan sekolah agama di seluruh negara, yang melibatkan skop kerja pembaikan kecil bangunan, pendawaian dan prasarana yang akan memberi keselesaan kepada anak-anak yang belajar di sekolah-sekolah berkenaan. – KOSMO! ONLINE














