KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang pegawai Unit VAT 69 Komando meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah, hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pegawai berkenaan adalah Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin.
Katanya, ketika kejadian pegawai berkenaan diberikan bantuan kecemasan serta rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.
“Namun, beliau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan perubatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut beliau, PDRM sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk penilaian terhadap prosedur latihan, penggunaan peralatan serta faktor kesihatan dan keselamatan, selaras dengan peraturan dan tatacara operasi standard yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga keluarga Allahyarham diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














