fbpx
Gambar hiasan

Pakar pendidikan awal kanak-kanak bakal ‘laku keras’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Kemasukan murid Tahun Satu seawal usia enam tahun pada 2027 dilihat bakal meningkatkan permintaan terhadap pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) ke sekolah-sekolah rendah.

Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan berkata, apabila murid 6 tahun masuk ke sekolah rendah, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memerlukan guru yang mempunyai latar belakang PAKK untuk mengajar Tahun Satu.

“Guru sekolah rendah sedia ada mungkin terlatih untuk mengajar murid yang lebih matang iaitu yang berusia antara 7 hingga 12 tahun.

“Oleh itu, graduan PAKK dari UPSI akan menjadi sangat relevan untuk mengisi kekosongan sebagai guru ‘Tahun Transisi’,” katanya kepada Kosmo! di Tanjung Malim hari ini.

Beliau berkata, program PAKK di UPSI mungkin akan beralih fokus kepada pendidikan kanak-kanak berusia 0 hingga 5 tahun (taska dan prasekolah) yang lebih khusus, serta latihan lanjutan untuk guru sekolah rendah mengenai pedagogi berasaskan bermain (play-based learning).

Bahkan, Abdul Halim berkata, UPSI berkemungkinan besar perlu menambah baik kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak (PISMP PAKK).

“Bakal guru subjek seperti Matematik atau Bahasa Melayu perlu mengambil modul tambahan berkaitan psikologi perkembangan kanak-kanak kecil.

“Mereka perlu tahu bagaimana menangani murid yang mungkin masih menangis kerana merindui ibu bapa atau yang belum mahir menguruskan diri di tandas,” katanya.

Beliau berkata, UPSI melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) akan menjadi institusi paling sibuk untuk melakukan kajian impak terhadap perubahan usia tersebut.

Jelas beliau, mereka akan menjadi penasihat utama kepada kerajaan untuk memastikan dasar ini tidak memakan diri.

“Kesan positifnya ialah kepelbagaian peluang kerja. Graduan PAKK UPSI tidak lagi terhad kepada tadika swasta atau Kemas tetapi mereka mempunyai laluan kerjaya yang lebih luas dalam perkhidmatan awam (DG41) sebagai pakar transisi di sekolah-sekolah kebangsaan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Abdul Halim berkata, program Diploma PAKK mungkin perlu dinaik taraf atau diselaraskan dengan keperluan sekolah rendah.

“Jika sekolah rendah mengambil alih peranan mendidik kanak-kanak 6 tahun, kolej dan universiti perlu memastikan graduan mereka mempunyai sijil tambahan yang diiktiraf untuk mengajar di peringkat sekolah rendah bawah (Lower Primary),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN