PETALING JAYA – Penyakit ‘slip disc’ bukan lagi isu kesihatan yang hanya dikaitkan dengan golongan warga emas, sebaliknya semakin banyak kes dilaporkan melibatkan individu seawal usia 20-an dan 30-an.
Menurut perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebook, golongan muda berisiko mengalami masalah tersebut terutama mereka yang bekerja dalam posisi duduk terlalu lama, kerap mengangkat barang berat, pernah terjatuh, terlibat dalam kemalangan kecil atau menahan sakit belakang bertahun-tahun tanpa mendapatkan pemeriksaan lanjut.
“Kadang-kadang kita melihat seseorang masih muda, berpakaian kemas dan kelihatan sihat, namun hakikatnya mereka sedang menyembunyikan kesakitan yang tidak nampak di mata,” ujarnya.
PHM menjelaskan, ‘slip disc’ lazimnya bermula secara senyap dan tidak menyebabkan lumpuh atau keperluan berkerusi roda secara serta-merta, sekali gus membuatkan ramai mengambil ringan simptom awal.
Antara tanda-tanda awal yang sering diabaikan termasuk sakit belakang yang menjalar ke punggung atau kaki, kebas serta rasa semut-semut di paha, betis atau tapak kaki, selain kaki cepat letih atau terasa lemah sebelah.
“Kesakitan juga boleh bertambah apabila duduk terlalu lama, bangun daripada posisi duduk, batuk atau bersin, selain rasa tidak stabil ketika berjalan,” katanya.
Tambahnya, tekanan berpanjangan pada saraf akibat ‘slip disc’ yang tidak dirawat boleh mengundang risiko lebih serius seperti kerosakan saraf kekal, kelemahan kaki berpanjangan, kehilangan kawalan kencing atau buang air besar serta dalam kes tertentu, kebergantungan kepada tongkat atau kerusi roda.
PHM turut mengingatkan bahawa terdapat golongan muda yang kelihatan kuat dan normal, namun sebenarnya sedang berjuang secara senyap dengan kesakitan berpanjangan. – KOSMO! ONLINE














