fbpx
Hantaran gambar yang dimuatnaik oleh US Embassy Kuala Lumpur di Facebook.

Netizen ‘panik’ bila Kedutaan AS puji Malaysia ‘bercahaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Netizen Malaysia mula ‘panik’ apabila Facebook Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara berkongsi semula imej ikonik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) pada 2016 yang memaparkan kilat memancar di dalam sistem ribut petir di langit negara ini.

Disebabkan insiden membabitkan AS dan Venezuela baru-baru ini, rata-rata netizen mula meninggalkan komen-komen ‘troll’ di hantaran yang dimuat naik Facebook US Embassy Kuala Lumpur tersebut sehingga mengundang pelbagai reaksi.

Melalui hantaran itu, US Embassy Kuala Lumpur memuat naik hantaran gambar berserta kapsyen ‘Malaysia, anda tidak pernah kelihatan lebih bertenaga.

“Mengimbas kembali gambar ikonik 2016 dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Cahaya putih terang bukanlah lampu bandar, ia adalah sambaran kilat besar yang meletus di dalam sistem ribut petir,” katanya.

Orang ramai kemudian mula meninggalkan komen termasuk seorang netizen, Woei Long yang memberitahu, Malaysia tiada bandar selain rakyatnya tinggal di atas pokok selain nota kaki bahawa negara ini tidak mempunyai minyak.

“Macam yang kamu lihat, kami tinggal di dalam hutan, lampu yang nampak itu kami buat daripada api untuk panaskan badan. Komen ini pun ambil masa dua ke tiga hari bekerja untuk muncul di bahagian komen,” kata Syarfun Sukri.

“Apa yang awak lihat itu unggun api. Waktu malam kami nyalakan unggun api untuk halau haiwan liar sambil tidur dengan selamat atas pokok,” komen Zaifurizan.

“Tidak, negara kami mana ada lampu. Kami gunakan kelip-kelip saja. Jangan percaya dengan gambar itu,” ujar Hairukatana.

“Itu pada tahun 2016, sekarang tahun 2026 kita hanya ada minyak masak dan minyak urut saja,” komen balqis.

Sementara itu, perkongsian serta komen-komen lucu daripada rakyat Malaysia itu turut menjadi sorotan-sorotan media antarabangsa.

Antaranya, The Independent turut melaporkan gelagat pengguna media sosial Malaysia yang menyindir pentadbiran Donald Trump selain mendakwa ‘tidak mempunyai sebarang minyak’ selepas Kedutaan AS itu menyiarkan imej satelit negara yang menakjubkan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI