CYBERJAYA- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan Ketua Editor dan Pengarang Dalam Talian China Press berhubung satu kandungan terbitan media itu yang dipercayai melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC berkata, siasatan dijalankan susulan laporan diterima terhadap kandungan berkenaan yang didakwa mengandungi maklumat palsu berkait titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen.
Katanya, maklumat didakwa palsu itu khususnya berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan awam.
“Penelitian awal mendapati kandungan tersebut membawa maksud berbeza daripada titah Seri Paduka Baginda, sekali gus boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap institusi diraja serta kepentingan nasional.
“Beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
MCMC berkata, pihaknya memandang serius sebarang penerbitan melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong dan perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“MCMC mengingatkan semua organisasi media agar melaksanakan semakan fakta secara teliti dan mematuhi prinsip kewartawanan
bertanggungjawab,” katanya.
Semalam, dua pegawai kanan syarikat media itu dirakam keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung hantaran yang memaparkan terjemahan salah ketika Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE














