MELAKA – Seorang lelaki diberkas selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan menahan serta mengugut seorang remaja perempuan untuk memenuhi kehendak seksualnya di sekitar negeri ini, kelmarin.
Suspek berusia 25 tahun itu ditangkap pada pukul 6.30 petang oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kegiatan suspek terbongkar selepas mangsa berusia 17 tahun membuat laporan polis mendakwa telah ditahan lelaki terbabit ketika menunggang motosikal kira-kira pukul 2 pagi, Ahad lalu.
“Ketika itu pengadu yang bekerja sebagai juruwang sebuah pasar raya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Klebang Melaka melalui jalan Datuk Seri Haji Mohd. Zain di Cheng.
“Tiba-tiba dia didatangi suspek menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta kad pengenalan pengadu sebelum mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, suspek turut meminta gadis tersebut membuka telefon bimbit untuk diperiksa dan telah menekan butang ‘follow’ di aplikasi Tiktok mangsa.
“Suspek telah meminta mangsa untuk memuaskan nafsunya sekiranya tidak mahu dikenakan saman sebelum dia beredar dan gadis itu telah hadir ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan diri dan mahu tindakan diambil penguat kuasa.
“Hasil siasatan kita berjaya menjejaki suspek dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














