CANBERRA – Seorang rakyat Malaysia berusia 26 tahun dihantar pulang dari Australia selepas pihak berkuasa sempadan menemukan lebih 100 imej bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) pada telefon bimbitnya, lapor portal berita South China Morning Post.
Lelaki tersebut sebelum itu tiba di Sydney dan dipilih untuk pemeriksaan peranti oleh Pasukan Sempadan Australia (ABF).
“Pada telefon bimbitnya, pegawai menemukan lebih 100 imej CSAM termasuk anime dan gambar yang dijana kepintaran buatan (AI),” kata ABF dalam satu kenyataan.
“Dia ditahan untuk disoal siasat lalu dihantar pulang ke Malaysia. Ini juga mengakibatkan pembatalan visanya,” tambah kenyataan yang sama.
Lelaki itu adalah antara 17 pelancong yang dipintas oleh ABF di pelbagai bahagian Australia termasuk New South Wales, Australia Barat, Australia Selatan dan Queensland antara 1 hingga 14 Januari lepas.
Individu lain yang ditangkap dengan CSAM pada peranti mereka semasa tindakan keras itu termasuk lelaki Australia berumur 70, 57 dan 24 tahun serta seorang wanita Australia berusia 27 tahun.
ABF berkata, pegawainya telah menghentikan lebih 435 pesalah seks kanak-kanak yang berisiko di lapangan terbang di seluruh negara antara 1 Januari 2024 hingga 31 Disember tahun lepas. – AGENSI














