KUALA LUMPUR – PELAKON Kamal Adli berterima kasih kepada bekas isteri, Uqasha Senrose kerana memberinya peluang bertemu anak perempuan mereka, Hawra Uqaira meski sudah sah bercerai talak satu pada 12 Januari lalu.
Menurut Kamal, 40, pertemuan dengan anak menjadi pengubat jiwanya yang kosong ketika ini selepas melalui fasa perceraian.
“Buat masa sekarang, fikiran saya memang tengah kosong dan tak sangka kehidupan jadi begini.
“Tapi saya gembira hari ini sebab sempat bertemu dan meluangkan masa beberapa jam dengan Hawra sebelum acara Jakel. Sempatlah main-main dengan dia selepas lebih dua minggu tak jumpa.
“Terima kasih juga kepada Uqasha sebab beri peluang saya luangkan masa dengan Hawra. Saya sangat gembira hari ini cuma Hawra nampak macam tak sihat seperti selalu,” katanya kepada HibGlam pada majlis pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026, hari ini.
Ditanya tentang pembahagian waktu bertemu dengan Hawra, Kamal berkata, buat masa sekarang dia akan meluangkan masa sebanyak mungkin dengan Hawra.
Katanya, meski sibuk dengan jadual penggambaran filem di Pahang, bertemu dengan Hawra menjadi keutamaannya setiap kali pulang ke ibu negara.
“Sekarang setiap kali saya ada masa terluang dan turun ke Kuala Lumpur, memang akan terus jumpa anak.
“Esok pun akan jumpa anak lagi sebelum sambung penggambaran di Lumut, Perak pula.
“Saya rasa sekarang tiada isu nak jumpa Harwa sebab mak dia pun kerja juga. Jadi, saya ambil masa tersebut untuk jumpa dan jaga dia sekejap,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Kamal memaklumkan belum berpeluang untuk bermalam dengan Hawra namun bertemu dengan buah hatinya itu sudah cukup menggembirakan hati.
“Buat masa ini saya tak boleh lagi nak bermalam dengan Hawra. ‘
“Tapi dapat pegang, jumpa dan luang masa seperti hari ini pun sudah seronok,” katanya yang menggalas amanah sebagai duta Jakel Raya bersama Elly Mazlein, Que Haidar, Senario, Nabil Ahmad, Bella Dowanna dan Zarif Ghazi.
Terdahulu, Kamal menerusi perkongsian dalam media sosial berkongsi rasa rindu yang mendalam apabila sudah lama tidak bertemu Hawra.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Kamal dan Uqasha akhirnya sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.
Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lapan bulan. – KOSMO! ONLINE














