fbpx
Hussein (tiga kanan) bersama wakil (AFP) menunjukkan cecair dadah dalam minuman yang dirampas di Pelabuhan Klang. FOTO: AFIQ RAZALI /KOSMO!

Dadah RM80 juta dalam minuman, minyak zaitun ‘mendarat’ di Pelabuhan Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Taktik licik sindiket antarabangsa menyeludup dadah bernilai RM80.3 juta melalui minuman dan minyak zaitun ke Australia digagalkan selepas dua kontena dirampas di Pelabuhan Klang, di sini kelmarin.

Barangan mengandungi cecair ekstasi dan heroin itu berjaya dikesan pada pukul 1.30 tengah hari hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Polis Persekutuan Australia (AFP).

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya mengesan dua buah kontena dari Asia Barat yang berlabuh sementara di Pelabuhan Klang pada 17 Januari lalu sebelum dihantar ke Sydney dan Melbourne.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kontena pertama menemukan 408 kotak mengandungi 6,528 botol minyak zaitun berisi cecair disyaki methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

“Kontena kedua pula mengandungi 1,831 karton berisi 54,930 kotak air minuman buah-buahan. Kandungannya berisi cecair dipercayai heroin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, petang ini.

Menurut Hussein, siasatan awal mendapati setiap barangan yang dirampas dipercayai mengandungi lima peratus dadah.

“Kita tidak menolak kemungkinan cecair dalam minuman dan minyak zaitun itu diekstrak semula atau sedia untuk digunakan (ready to use). Dua kontena itu dipercayai transit selama tiga hingga lima hari di Pelabuhan Klang sebelum berlepas ke Australia,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan terperinci masih dijalankan termasuk mengesan sindiket yang menggunakan perkhidmatan kontena. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1852. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN