KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam proses melengkapkan prosedur pengambilan 200 bekas tentera bagi mengukuhkan peranan agensi tersebut.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) , Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, langkah itu bagi memastikan tiada perkara berbangkit berhubung pengambilan veteran tentera.
“Kelulusan itu memang sudah diluluskan sejak Belanjawan diumumkan sebelum ini. Itu memang secara dasarnya.
“Kita dalam proses prosedur memenuhi pengambilan itu supaya tiada perkara berbangkit kelak pengambilan veteran ini,” katanya pada sidang akhbar di Pelabuhan Barat di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sesi lisan di Parlimen dilaporkan berkata, (JPA) yang telah meluluskan 200 jawatan bagi pengambilan bekas anggota tentera untuk AKPS.
Mohd. Shuhaily turut memaklumkan beliau telah memohon penambahan jawatan bagi AKPS Pelabuhan Klang.
“Kita berusaha dalam konteks penjawatan dan menyerahkan kepada pihak berwajib. Saya telah memohon jumlahnya, tetapi tidak boleh mendedahkan buat masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata AKPS telah merekodkan 50 kes kejayaan melibatkan pintu sempadan darat, udara dan laut bernilai RM2 juta setakat 21 Januari tahun ini.
“AKPS baru 13 bulan beroperasi, dan kejayaan tahun lepas adalah hasil usaha anak buah saya daripada pelbagai teras. Ia bukan kejayaan saya seorang, tetapi mereka (jabatan bawah AKPS).
“Saya hanya mengemudi, sekiranya mereka menunjukkan prestasi baik, mereka yang patut dipuji,” katanya.-KOSMO! ONLINE














