KOTA BHARU – Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 14 akaun syarikat melibatkan nilai RM7.2 juta selepas menahan enam pemilik syarikat yang dipercayai terlibat kes penyeludupan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua suspek kini ditahan reman dan kini pihaknya dalam proses untuk menangkap dua lagi pemilik syarikat yang dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kita mengesan tujuh syarikat di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang disyaki menjadi dalang penyeludupan e-waste ke dalam negara ini sejak lima tahun lalu.
“Dalam isu ini kita, tidak menyalahkan agensi penguat kuasa kerana mereka yang terlibat akan sentiasa mencari jalan untuk membawa masuk bahan terlarang ini ke dalam negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sebuah hotel di sini hari ini.
Azam memberitahu, orang ramai perlu diberi kefahaman bahawa undang-undang negara tidak membenarkan kemasukan e-waste, malah aktiviti ini turut dianggap haram oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, langkah menangani kemasukan e-waste ke dalam negara ini juga tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), tetapi menuntut kerjasama pelbagai pihak.
“Terdapat beribu kontena memasuki pelabuhan setiap hari dan kita tidak boleh semberono menuduh JAS dan JKDM kerana bukan mudah untuk mereka mengesan kemasukan e-waste yang kadangkala disorokkan di belakang barangan-barangan lain yang memasuki pelabuhan.
“Oleh itu, SPRM melihat isu ini tidak boleh ditangani di pusat pemeriksaan terutama di pelabuhan-pelabuhan dan berusaha kumpul semua agensi terlibat termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) untuk ambil tindakan atas daratan,” ujarnya.
Azam berkata, melalui inisiatif itu, pihak SPRM akan menguatkuasakan dua perkara, iaitu rasuah dan ketirisan atau kehilangan wang kerajaan dengan melibatkan pakar-pakar daripada Bahagian Anti Pengubahan Wang Haram. – KOSMO! ONLINE














