SHAH ALAM – Seorang wanita yang terlibat dalam aktiviti senamrobik berbaju kurung tanpa kain di sebuah Dewan Orang Ramai Kampung Badong, Bestari Jaya telah tampil menyerah diri, kelmarin.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, wanita tersebut berusia 29 tahun hadir bagi membantu siasatan berhubung penularan video aktiviti tersebut.
Katanya, manakala individu-individu lain yang terlibat telah dikenal pasti dan siasatan terhadap mereka sedang berjalan.
“Kertas siasatan telah dibuka. Setakat ini, seorang individu telah tampil menyerah diri kelmarin.
“Berdasarkan keterangan awal daripada individu yang telah menyerah diri, kesemua individu akan disiasat di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 ( menyebabkan agama Islam dipandang hina),” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Untuk rekod, kesalahan dibawah Seksyen tersebut memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan JAIS sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu sambil menyifatkan aktiviti senamrobik itu sangat tidak beradab dan boleh menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Salah seorang wanita yang berada dalam video itu kemudian tampil membuat permohonan maaf selepas tindakan mereka itu mencetuskan kemarahan umum.
Ekoran insiden itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Badong, Muhammad Nasir Ahmad menyatakan Penganjuran sebarang aktiviti zumba di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Badong di sini, tidak lagi dibenarkan dan dilarang secara serta-merta. – KOSMO! ONLINE














