SHAH ALAM – Siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung beberapa video tular yang memaparkan keadaan sebuah taska serta perbuatan penjaga terhadap anak asuhan di tadika.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, setakat ini sebanyak empat video yang dikongsi seorang pemilik akaun telah tular di media sosial.
“Setakat ini polis belum menerima laporan berhubung dengan video tular itu dan masih menjalankan siasatan secara terperinci.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut digesa menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Laymand Rayne, di talian 014-6907071,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tindakan beberapa pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam yang didakwa mengurung seorang kanak-kanak autisme dalam bilik stor serta memaksa seorang bayi meminum susu dengan cara dikepit menggunakan kaki telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Rakaman kejadian itu didedahkan Caprice menerusi Instagram Munafik Hunter dan meraih lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam, selain mencetuskan desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengasuh dan pengurusan taska terbabit
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim memaklumkan pihaknya menerima tiga aduan melibatkan cawangan taska berkenaan di Seksyen 3, Kota Kemuning dan Puchong Prima.
“Semua kes ini dalam siasatan JKM dan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














