PETALING JAYA – “Allah…ngerinya tengok. Dia sapu habis. Takziah buat keluarga dan mangsa yang terlibat.”
Itu antara komen yang ditinggalkan orang ramai susulan berhubung kemalangan ngeri yang berlaku di Lebuh Raya Persekutuan dari Shah Alam menghala ke Klang.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika tiga individu terbabit yang terlibat dalam satu kemalangan awal merakam gambar bagi tujuan laporan di lorong kanan.
Namun, secara tiba-tiba sebuah kereta lain dipercayai hilang kawalan lalu melanggar mereka sehingga menyebabkan dua dari mangsa meninggal dunia di lokasi.
Menurut perkongsian pengguna Threads @mirahhsabri, dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah, manakala seorang lagi iaitu wanita cedera di bahagian kepala dan menerima rawatan di hospital.
“Kemalangan pertama baru jadi dan mereka bertiga masa tengah ambil (rakam) gambar untuk buat laporan, tiba-tiba ada kereta terus langgar mereka. Allah, ngerinya tengok,” tulisnya.
Tambahnya, pemandu yang merempuh mangsa turut mengalami kecederaan serius dengan kedua-dua kakinya dilaporkan patah.
Sementara itu, pengguna Facebook, Wan Iman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Nasihat pada semua ‘callman’ atau pemandu, jika terbabit kemalangan, jangan sesekali berdiri di tempat kemalangan. Sebaiknya beralih ke tepi sementara tunggu bantuan. Hati-hati kawan-kawan semua, nyawa kita tak boleh beli. Semoga dipermudahkan segala urusan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














