JOHOR BAHRU – Tiga pegawai imigresen dan seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 18 pertuduhan rasuah terlibat dalam aktiviti ‘counter setting’ membawa keluar masuk pengembara berjumlah keseluruhan RM31,600 daripada beberapa individu, antara 2023 hingga 2025.
Kesemua tertuduh Md Azhar Jamal, 40, Hairizam Mohamed, 57, Ridzal Mohd Yasin, 42, yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen KP2 dan Haslan Hazilah, 56, yang bekerja sebagai peniaga kedai makanan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasing di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Md Azhar didakwa atas 14 pertuduhan menerima wang berjumlah RM28,600 secara pindahan daripada beberapa individu sebagai rasuah untuk tidak menyemak dan memastikan perjalanan warga asing untuk keluar masuk ke Malaysia adalah sah.
Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan Md Azhar di sebuah bank di Jalan Kijang, Taman Mohd Yasin, Simpang Renggam Kluang antara 16 Julai 2024 hingga 24 Februari 2025.
Pendakwaan dikemukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala, Ridzal didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,700 daripada seorang ejen tiket sebagai dorongan memudahcara kemasukan pengembara warga Indonesia ke Malaysia.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di dalam sebuah tandas berhampiran kaunter Imigresen Terminal Feri Pasir Gudang di sini antara April dan Ogos 2023.
Harizam pula dituduh menerima wang rasuah RM100 daripada seorang lelaki sebagai dorongan memudahcara urusan kemasukan migran dari Indonesia ke Malaysia.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di di Pejabat Imigresen Pasir Gudang pada 28 Ogos 2024.
Sementara itu, Haslan didakwa menerima rasuah RM1,200 daripada seorang individu sebagai orang tengah membantu memudahcara urusan keluar masuk pengembara Indonesia ke Malaysia.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah kedai makan di Jalan Sulaiman, Muar pada 11 November 2024.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin, Ameera D’aneez Mohd Shukari dan Muhamad Faizul Kamaro Zaman manakala Md Azhar diwakili peguam Abd Rahim Ali, Ridzal diwakili Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri, Harizam diwakili Suhaila Saifi’uddin dan Haslan diwakili Nurashidah Md Razip.
Hakim menetapkan ikat jaminan sebanyak RM8,000 terhadap Ridzal, Hairizam dan Haslan manakala RM10,000 kepada Md Azhar.
Selain itu kesemua mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Februari depan terhadap Ridzal manakala 25 Februari kepada Md Azhar, Haslan dan Hairizam.-KOSMO! ONLINE














