KUALA LUMPUR – Kementerian Pertananan (Mindef) bersedia membangunkan sistem pertahanan berasaskan laser dalam usaha melindungi negara daripada sebarang ancaman daripada pihak luar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem pertahanan itu adalah salah satu daripada tujuh projek pertahanan nasional yang akan dibangunkan sempena pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Beliau berkata, dengan adanya sistem pertahanan berasaskan laser itu, ia mampu berhadapan dengan cabaran peperangan
menggunakan teknologi baharu seperti dron.
“Selain itu, kita (Mindef) juga akan mengambil alih perkhidmatan satelit pertahanan negara apabila kontrak ketika ini tamat pada 2019. Syarikat yang ambil alih perkhidmatan itu adalah 100 peratus milik kerajaan.
“Seterusnya, kita juga akan bangunkan keupayaan pemasangan dan pembuatan casis sistem kenderaan darat menggunakan plaform tempatan. Jadi kalau ada siapa (syarikat) bawa masuk kenderaan 4×4, 6×6, 8×8 dia kena gunakan platfrom ini (casis tempatan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran DIPN di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan pihak Mindef mengawal harga setiap kenderaan yang ditawarkan oleh pihak pembekal.
Beliau berkata, projek keempat adalah pembangunan keupayaan pemasangan, pembaikan dan pembuatan pelbagai sistem persenjataan.
“Manakala kelima, kita juga akan membangunkan pasif radar yang mana yang tidak ada siapa tahu di situ ada radar.
“Kita juga akan mengeluarkan produk Loitering Munition System atau dron kamikaze serta membangunkan simulator pertahanan,”katanya.
Tambah beliau, kesemua rancangan itu adalah sebagai langkah dalam mengurangkan kebergantungan kepada negara asing dan
memastikan bekalan keperluan pertahanan negara yang lebih terjamin.-KOSMO! ONLINE














